11

Cara Menjana Pendapatan Sampingan: 10 Pekerjaan Sampingan untuk Anda

Kata Kunci:

  1. Bekerja sebagai Freelancer
  2. Menjadi pemandu E-hailing / P-hailing
  3. Mulakan Blog dan Guest Blogging
  4. Mulakan bisnes sebagai Stokis atau Ejen
  5. Menjadi tutor dalam talian
  6. Sewakan rumah atau hoskan rumah anda sebagai Airbnb
  7. Mulakan saluran YouTube
  8. Affiliate Marketing
  9. Menjadi TikTok influencer
  10. Pakar SEO

Daripada hanya bergantung pada pendapatan tetap sahaja, ramai orang hari ini melakukan kerja sampingan untuk menjana pendapatan tambahan. Oleh kerana kos sara hidup yang semakin tinggi, sukar untuk mereka bergantung hanya pada satu sumber pendapatan. Untuk memastikan mereka mempunyai wang tambahan pada masa hadapan, sesetengah daripada mereka telah mula melabur dalam mata wang kripto, emas, bitcoin, hartanah dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, mencari pekerjaan sampingan adalah pilihan terbaik jika anda tidak minat untuk melakukan pelaburan.

Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa melabur dan melakukan kerja sampingan adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun pelaburan memerlukan kesabaran dan pemahaman tentang trend dan merupakan pelaburan jangka masa panjang. Manakala, kerja sampingan pula bergantung pada menyelesaikan kerja, tugas atau projek untuk pelanggan anda dan menerima bayaran serta-merta selepas itu.

Terdapat banyak pekerjaan sampingan yang tersedia di Malaysia yang boleh anda lakukan, tetapi lebih mudah jika anda dapat mengenal pasti minat dan kekuatan anda. Berikut ialah 10 Pekerjaan Sampingan yang boleh anda lakukan untuk menjana wang tambahan. Sekarang adalah masa untuk menggunakan bakat terpendam anda dan menjana wang tambahan tersebut!

1. Bekerja sebagai Freelancer

Ramai individu sekarang mula bekerja sebagai freelancer. Freelancer atau pekerja bebas yang membawa maksud anda bekerja untuk diri sendiri dan mengenakan bayaran kepada pelanggan tertentu untuk perkhidmatan yang anda berikan. Kebiasaannya freelancer bekerja secara kontrak untuk perniagaan dan organisasi, namun sesetengah daripada mereka mungkin hanya bekerja untuk projek atau tugasan tertentu pada satu masa.

Terdapat banyak pekerjaan sampingan yang tersedia hari ini, jadi tentukan cabang mana yang menarik minat anda dan hubungi bakal pelanggan tersebut. Bukan itu sahaja, perkara yang menarik sebagai freelancer adalah, anda boleh membuat keputusan anda sendiri seperti jadual anda, pelanggan yang anda ingin bekerjasama dan perkhidmatan apa yang anda ingin tawarkan.

Memandangkan pendapatan sebagai freelancer ini tidak tetap, anda mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap pendapatan anda sendiri kerana anda sendiri yang meletakkan harga dan mengenakan bayaran kepada pelanggan anda mengikut perkhidmatan yang diberikan.

Terjemahan, reka bentuk laman web, penulisan kandungan, reka bentuk grafik, videografi antara contoh pekerjaan freelancer.

2. Menjadi pemandu E-hailing / P-hailing

Kini, ramai pemandu E-hailing dan P-hailing memilih untuk menggabungkan aktiviti sampingan ini dengan kerja tetap mereka. Perkhidmatan E-hailing dan P-hailing sudah pasti akan digunakan oleh orang ramai untuk melakukan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain atau untuk menghantar makanan, bungkusan dan barangan lain. Manakala, kadar bayaran untuk E-haling dan P-hailing pula adalah berbeza. Bukan itu sahaja, faedah yang anda boleh perolehi apabila bekerja sebagai E-hailing atau P-hailing seperti KWSP, PERKESO, perlindungan perubatan keluarga pekerja, dan lain-lain, tetapi faedah tersebut bergantung kepada syarikat tersebut.

Grab, MyCar, DacSee, AirAsia Ride, Shoppe Food, FoodPanda, Riding Pink, dan lain-lain adalah beberapa contoh syarikat E-hailing dan P-hailing.

3. Mulakan Blog dan Guest Blogging

Anda suka menulis dan post ke laman web? Jika ya, anda boleh memulakan blog anda sendiri atau guest blogging untuk perniagaan lain. Dengan memulakan blog anda sendiri, anda bukan sahaja bebas untuk berkongsi apa sahaja yang anda mahukan; anda juga boleh menjana pendapatan daripadanya, kerana sesetengah blogger akan mencari penaja dan pemasar untuk mengupah mereka sebagai penulis bebas untuk tujuan promosi.

Walau bagaimanapun, sesetengah daripada mereka pula lebih gemar mencari perniagaan yang khusus untuk menulis bagi pihak lain dan menerima bayaran untuk setiap bahagian yang diterbitkan; penulis ini dikenali sebagai guest blogging. Jika anda mempunyai minat untuk menulis dan tidak mahu mencipta blog anda sendiri, ini adalah alternatif untuk anda menjana pendapatan tambahan. Tambahan lagi, apabila anda kerap menulis, anda juga dapat mengasah bakat menulis anda pada masa yang sama.

Nota: Menurut laman web Indeed, penulis bebas (freelance writer) di Malaysia mungkin menjangkakan memperoleh purata gaji bulanan sebanyak RM 3,934.

4. Mulakan bisnes sebagai Stokis atau Ejen

Jika anda perasan, sekarang ini ramai yang melakukan kerja sampingan iaitu menjadi stokist dan ejen. Antara barangan yang mereka jual terdiri daripada produk penjagaan kulit, makanan, pencuci mulut, pakaian, kasut, aksesori dan lain-lain. Untuk permulaan memang agak sukar kerana anda perlu memahami cara yang betul untuk menjual barangan dalam talian, kaedah pemasaran yang betul dan keupayaan bagaimana untuk menarik pelanggan juga memainkan peranan yang penting.

Tetapi anda jangan risau; sebaik sahaja anda menyertai sebagai stokis atau ejen, anda akan dibimbing oleh ketua (leader) anda anda dari awal hingga akhir. Bukan itu sahaja, anda juga mempunyai peluang untuk mempelajari serba sedikit tentang alam perniagaan. Jika anda berjaya mempelajari dan melakukannya, anda boleh melihat dan beribu-ribu jualan masuk dalam satu bulan!

Inai Nunha, Ainaa Skincare, mytudungfazura, monchoco cake, dan jenama lain adalah beberapa contoh barangan yang dijual melalui stokis atau ejen.

5. Menjadi pengajar/tutor dalam talian

Menjadi pengajar atau tutor dalam talian adalah salah satu cara anda boleh menjana pendapatan tambahan setiap bulan jika anda mempunyai kesabaran dan mahir dalam beberapa subjek. Pendapatan sampingan anda boleh mencecah RM 800 atau lebih bergantung pada kadar yang anda caj dan berapa orang pelajar yang anda ada. Tambahan lain, anda boleh mengajar di mana-mana sahaja dan ia sangat fleksibel. Sekarang, terdapat banyak platform yang tersedia yang boleh anda gunakan untuk mengajar dalam talian, seperti Google Meet, Zoom, Teams, Skype, Slack dan lain-lain yang akan memudahkan urusan anda dan pelajar anda untuk berhubung secara maya.

Manakala, kadar setiap jam untuk pembelajaran dalam talian bergantung pada pelbagai faktor termasuk lokasi anda, bekalan dan permintaan, kesukaran dan tahap subjek, kelayakan anda, pengalaman anda, pesaing dalam bidang anda, dan prestasi akademik pelajar. Sebelum anda mengenakan caj kepada pelanggan anda, anda mesti mengambil kira faktor tersebut.

6. Sewakan rumah atau hoskan rumah anda sebagai Airbnb

Adakah rakan anda atau orang lain memberitahu anda bahawa mereka telah membeli rumah dan kemudian menyewakannya atau menjadikan rumah mereka sebagai Airbnb? Ini adalah kaedah lain yang boleh anda lakukan untuk menjana pendapatan tambahan.

Cuba anda bayangkan jika anda memutuskan untuk menjadikan rumah anda sebagai Airbnb atau menyewakannya, anda akan mengenakan bayaran sebanyak RM 100 atau lebih untuk satu hari dan ini bergantung pada berapa hari pelanggan anda ingin menyewa, anda akan memperoleh ratusan atau bahkan ribuan ringgit dalam sebulan. Begitu juga, jika anda menyewa rumah anda kepada orang luar, mereka akan membayar anda sewa bulanan sebanyak RM 500 atau lebih kepada anda.

Sebelum anda membuat keputusan, pastikan anda membuat pertimbangan dengan teliti untuk jangka masa panjang, sama ada rumah yang anda beli itu anda ingin sewakan kepada orang yang luar atau untuk tujuan Airbnb.

7. Mulakan saluran YouTube anda

Memulakan saluran YouTube ialah langkah terbaik jika anda mempunyai banyak pengetahuan, kebolehan atau apa-apa sahaja yang anda ingin kongsi dengan seluruh dunia untuk menjana wang tambahan! Menurut World of Buzz, Youtuber membuat wang hanya daripada iklan dan daripada iklan tersebut boleh menjana sehingga RM1,000 sehari.

Jika anda memilih untuk menjadi YouTuber sambilan atau sepenuh masa, memulakan saluran Youtube anda sendiri dan berkongsi tentang apa yang anda minat merupakan cara dimana anda boleh menjana wang tambahan tetapi anda harus konsisten. Selain pengiklanan, terdapat cara lain untuk menjana wang tambahan dengan Youtube, termasuk keahlian, crowdsourcing, affiliate marketing dan menjual produk mereka.

Walau bagaimanapun, untuk menjana pendapatan daripada video anda di YouTube, saluran Youtube anda mesti mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 jumlah pengikut (Garis Panduan YouTube). Oleh itu, jangan lupa untuk mengenal pasti bakat anda kerana ini akan memudahkan anda mengejar pekerjaan sampingan anda untuk menjadi seorang ahli Youtuber.

Contoh jenis-jenis topik yang boleh anda kongsikan di Youtube termasuk video parodi, DIY, program memasak, Mukbang, ASMR, perkongsian tentang diet atau produk penjagaan kulit dan banyak lagi.

8. Affiliate Marketing

Adakah anda tahu apa itu Affiliate Marketing? Anda pasti pernah mendengarnya baru-baru ini. Secara ringkasnya, tugas anda adalah untuk membantu syarikat memperoleh pelanggan dengan mempromosikan produk atau perkhidmatan syarikat mereka dalam mana-mana rangkaian sosial dengan menggunakan pautan unik. Salah satu faedah yang anda boleh nikmati ialah jika anda berminat, anda boleh mendaftar Affliate Marketing secara percuma sahaja. Manakala, komisen yang anda akan terima mengikut jenis industri dan selalunya diantara 5% dan 10%.

Sebelum anda membuat keputusan untuk melakukan Affiliate Marketing, pastikan anda faham dan mengikut semua panduan tersebut cara untuk bermula supaya anda dapat memahami dengan lebih jelas bagaimana untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan syarikat mereka, berapa peratusan komisen yang anda akan terima dan lain-lain.

Contoh platform Affiliate Marketing: Program Gabungan Shopee, Program Gabungan LAZADA, Program Gabungan Watsons, Program Gabungan JD Sports, Program Gabungan UNIQLO dan lain-lain.

9. Menjadi TikTok influencer

Jika anda mempunyai bilangan pengikut yang ramai pada akaun Tiktok anda, ini adalah peluang yang terbaik untuk anda menarik perhatian mereka kepada perniagaan anda atau diri anda sendiri. Sebelum itu, anda mesti berumur sekurang-kurangnya 16 tahun untuk menjana pendapatan di Tiktok, dan anda mesti berumur lebih dari 18 tahun untuk berkolaborasi dengan jenama atau pihak ketiga secara langsung. Jika anda perhatikan, ramai individu hari ini mula memuat naik pelbagai jenis video dari video lawak, video pendidikan, video memasak dan lain-lain.

Oleh sebab itu, jika anda memiliki sebarang kebolehan atau kemahiran, jangan takut untuk menggunakannya. Anda boleh bekerja dengan syarikat tertentu sambil menjana pendapatan tambahan. Di samping itu, jenama-jenama yang terkenal mungkin akan mendekati anda berdasarkan pengaruh anda terhadap media sosial dengan audience yang ramai dan meminta untuk berkerjasama dalam promosi pemasaran mereka.

Perlu diingatkan bahawa, video-video yang anda memuat naik itu pastikan ia adalah video yang bermanfaat dan paling penting video tersebut boleh memberi pengajaran atau ilmu kepada orang lain.

10. Pakar SEO

Tahukah anda bahawa majikan di Malaysia meletakkan premium yang tinggi kepada pakar SEO kerana permintaan terhadapa pakar SEO semakin meningkat di Malaysia?

Apa itu SEO? Istilah “SEO” bermaksud “pengoptimuman enjin carian,” yang merupakan prosedur untuk mendapatkan pelawat melalui hasil carian yang tidak dibayar, dijana secara editorial atau semula jadi dalam enjin carian.

Jika anda seorang yang pakar dalam SEO dan memiliki pelbagai kebolehan dan pengetahuan, anda boleh sama ada memberikan kepakaran perkhidmatan SEO anda kepada perniagaan lain atau anda boleh membina laman web anda sendiri yang akan membawa untung daripada pengiklanan atau rujukan.

Kesimpulan

Terdapat banyak pilihan pekerjaan sampingan yang ada untuk anda menambah pendapatan anda. Seperti yang saya telah katakan, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pendapatan yang sedia ada. Terutamanya jika anda mempunyai keluarga atau anak-anak. Oleh itu, jika anda mempunyai sebarang kebolehan atau skill untuk melakukan sesuatu di luar zon selesa anda, inilah peluang terbaik untuk anda!

Oleh itu, anda boleh memilih untuk melakukan pekerjaan sampingan apa sahaja yang anda mahukan.Untuk mengelakkan anda hilang tumpuan terhadap kerja tetap anda, anda mesti menguruskan masa anda dengan bijak. Ini adalah satu lagi faktor penting yang perlu diambil kira.

Related Posts

Leave a Reply