5 Scam Jalan Raya yang Anda Perlu Berwaspada di Malaysia!

Isi Utama

  1. Scam trak tunda
  2. Scam tambang teksi
  3. Scam ‘Cash for Crash’
  4. Scam tepi jalan
  5. Scam “Mana ibu saya?”
  6. Bagaimana untuk menangani scam jalan raya

Jika anda seperti kebanyakan orang, anda mungkin menganggap Malaysia sebagai syurga tropika. Anda mungkin tidak tahu bahawa selain daripada terkenal dengan kepelbagaian budaya, Malaysia juga merupakan sarang kepada beberapa scam jalan raya yang bijak. Senang untuk kita mengingatkan seseorang supaya berhati-hati semasa memandu. Namun, malangnya, pemandu yang paling berhati-hati pun boleh menjadi mangsa penipuan yang sering menggunakan helah bijak untuk mengambil kesempatan ke atas pemandu lain. Lain kali sebelum anda keluar, pastikan anda ambil tahu helah-helah yang digunakan oleh scammer di Malaysia untuk mengambil kesempatan ke atas pemandu yang tidak bersalah supaya anda boleh mengelak dari menjadi mangsa mereka.

1. Scam trak tunda

Malangnya, scam jalan raya adalah perkara yang biasa, dan salah satu jenis scam yang paling biasa (dan paling terkenal) ialah scam trak tunda. Scam ini melibatkan tumpahan minyak, paku atau serpihan kaca di atas jalan dan menunggu pemandu yang malang jatuh ke dalam perangkap. Sekiranya anda mengalami kemalangan akibat scam ini, scammer akan tiba-tiba muncul entah dari mana dan menawarkan perkhidmatan trak tunda pada harga yang tidak masuk akal yang boleh menelan kos sehingga RM2,000 hingga RM5,000. Mereka akan cuba untuk memaksa anda untuk menggunakan perkhidmatan mereka supaya anda memberikan wang anda kepada mereka kerana rasa terdesak dan bimbang.

Dalam keadaan di mana anda tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa memberi kebenaran untuk mereka menunda kereta anda, mereka akan mengambil kesempatan daripada situasi itu dengan membawanya ke tempat lain dan bukannya ke bengkel panel yang diluluskan oleh syarikat insurans anda – yang bermaksud anda harus membuat “pembayaran” lain supaya kereta anda “dilepaskan” sebaik sahaja anda sampai ke destinasi. Malangnya, memandangkan scam ini berleluasa, semua pemandu di Malaysia harus berhati-hati dengannya dan berusaha untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

2. Scam tambang teksi

Penipuan tambang teksi adalah salah satu penipuan jalan raya yang paling lama. Pernahkah anda cuba menaiki teksi pulang ke rumah, dan pemandu enggan menggunakan meter untuk mengira tambang anda dan kemudian cuba mengenakan bayaran yang terlalu tinggi kepada anda? Tepat sekali. Kebanyakan daripada kita telah menjadi mangsa penipuan ini sekurang-kurangnya sekali. Mereka biasanya menggunakan alasan ‘meter rosak’ untuk menipu anda daripada wang anda.

3. Scam ‘Cash for Crash’

(sumber: Coconuts.co)

Scammer sentiasa mencari cara untuk mencuri wang hasil titik peluh orang lain dan salah satu caranya adalah scam Cash for Crash. Ia juga dikenali sebagai ‘scam kemalangan palsu’. Cara ia berfungsi: scammer akan sengaja menyebabkan kemalangan dan kemudian menuntut wang insurans dengan menokok tambah kerosakan. Terdapat 3 jenis scam Cash for Crash di Malaysia:

  • Scam brek mengejut
    Pernahkah anda memandu dan tiba-tiba pemandu di hadapan anda menekan brek secara mengejut? Ianya sebuah pengalaman yang menakutkan, dan is juga boleh menyebabkan kemalangan. Malangnya, scammer menggunakan taktik ini sebagai cara untuk menipu orang. Mereka sengaja memecutkan kereta mereka dan kemudian menekan brek berkali-kali sehingga anda melanggar bahagian belakang kereta mereka. Mereka biasanya akan mendakwa bahawa mereka mengalami whiplash atau kecederaan lain yang memerlukan rawatan perubatan segera. Mereka melakukan ini untuk memeras wang daripada anda untuk kos perubatan dan pembaikan.(Untuk pengetahuan anda, sesiapa yang melanggar kenderaan dari belakang selalunya dianggap bersalah dalam kebanyakan kes. Walau bagaimanapun, anda mungkin tidak akan dianggap bersalah jika anda mempunyai saksi atau bukti tentang perkara yang sebenarnya berlaku!)
  • Scam kemalangan semasa mengundur
    Dalam scam ini, kereta scammer akan “tiba-tiba muncul” di belakang kereta anda apabila anda mengundur, menjadikannya seolah-olah anda melanggar kereta mereka secara tidak sengaja. Apabila anda memeriksa kerosakan itu, anda mungkin perasan bahawa kereta anda tidak begitu rosak atau tercalar, manakala kereta scammer akan mengalami kerosakan yang sangat teruk. Ini mungkin kelihatan seperti penipuan yang sangat jelas dan nyata, tapi mangsa yang tertipu selalunya akan mengalami kerugian beribu-ribu ringgit.Anda mungkin terfikir untuk pergi ke balai polis, tapi berdasarkan beberapa kes yang lalu, pergi ke balai polis mungkin bukanlah pilihan terbaik. Scammer mungkin akan cuba mendesak anda untuk pergi ke balai polis pilihan mereka, kerana mereka mempunyai “cable” dengan pegawai tertentu (kononnya) di balai ini, yang membolehkan mereka mencuri duit anda di atas nama “saman”.
  • Scam kemalangan motorsikal
    Serupa dengan scam kemalangan semasa mengundur, penunggang motosikal akan sengaja cuba untuk dilanggar oleh anda sebagai sebahagian daripada helah mereka. Dengan menggunakan helah yang sama seperti scam brek mengejut, mereka kemudiannya akan mendakwa telah cedera parah dalam kemalangan itu, selalunya menggunakan taktik seperti memegang dada mereka atau mengerang dengan kuat untuk memberi gambaran bahawa mereka sedang dalam kesakitan yang amat untuk memeras wang daripada anda untuk kos rawatan perubatan kononnya.
  • Scam “Anda lompat, saya lompat”
    Scam “Anda lompat, saya lompat” (kami memberikannya nama ini) sudah lama popular di China, dan sejak kebelakangan ini, ia telah mula menunjukkan tanduknya di Malaysia. Scam ini adalah satu lagi jenis scam Cash for Crash. Daripada sengaja merosakkan kereta mereka untuk melakukan penipuan insurans, scammer itu sebaliknya mengubah taktik – mereka akan melompat ke hadapan kereta untuk sengaja dilanggar oleh anda dan kemudian mendakwa bahawa mereka cedera parah dalam kemalangan itu dan meminta wang daripada anda untuk menampung bil rawatan mereka. Biar betul? Kita semua pernah mendengar tentang beberapa scam yang gila sebelum ini, tapi yang ini berada di tahap yang lain. Jika anda tidak berhati-hati, anda boleh kehilangan beribu-ribu ringgit untuk bil rawatan mereka kononnya. Oleh itu, waspadalah terhadap scam baharu ini.
  • Scam bengkel
    Scam ini adalah hasil daripada scam Cash for Crash. Selepas mendakwa kereta mereka telah rosak teruk akibat kecuaian anda, mereka akan mendesak anda untuk pergi ke bengkel pilihan mereka untuk pembaikan. Tapi disebalik itu: mekanik itu juga terlibat dalam scam ini. Mekanik biasanya akan menokok tambah kerosakan dan mengenakan anda caj yang tidak masuk akal untuk membaikinya.

Scam jenis ini menjadi semakin berleluasa kerana amat susah untuk anda cuba buktikan bahawa kemalangan itu bukan kesilapan anda. Jadi, jika sesiapa cuba menggunakan helah ini kepada anda, kekal berjaga-jaga supaya mereka tidak boleh mengambil kesempatan daripada anda!

4. Scam tepi jalan

(sumber: SAYS.com)

Scam tepi jalan merujuk kepada penipuan yang berlaku di tepi jalan. Beberapa scam di tepi jalan yang terkenal adalah seperti di bawah:

  • Scam tayar berasap
    Bayangkan senario ini: anda sedang memandu, dan tiba-tiba seorang penunggang motosikal melambai ke arah anda dan menunjuk ke arah tayar anda yang berasap. Berasa bimbang, anda segera berhenti di tepi jalan. Penunggang motosikal tersebut kemudian “membantu” untuk menelefon “mekanik” untuk memeriksa tayar anda. “Mekanik” akan menutup sistem brek sambil “memeriksa” punca asap. Kemudian, dia akan meminta anda untuk menguji brek anda, yang kini sudah tidak berfungsi. Sebagai seorang yang “baik”, dia menawarkan untuk membantu anda mendapatkan alat ganti baru. Dan semestinya, selepas semuanya selesai, dia akan memberikan anda invois yang sangat mahal.
  • Scam kemalangan palsu
    Malangnya, scam ini telah berlaku selama bertahun-tahun dan kian terus menjadi salah satu bentuk scam yang paling teruk di luar sana. Scammer selalunya akan menggunakan kemalangan sebagai taktik untuk meminta anda berhenti di tepi jalan. Mereka biasanya akan melambai ke arah anda dan berlakon kononnya kereta mereka rosak atau mereka dalam kesusahan dengan harapan mereka boleh mendapatkan bantuan. Mereka mungkin kelihatan betul-betul tertekan pada mulanya, tapi personaliti mereka akan tiba-tiba berubah 180° dan mengugut anda dengan pistol atau pisau selepas anda menawarkan bantuan.Satu lagi jenis scam ini adalah dengan berpura-pura mempunyai kereta yang “rosak” dan meminta untuk menumpang kereta anda. Mereka akan merompak anda apabila anda bersetuju untuk menumpangkan mereka!
  • Scam penutup minyak
    Anda ingin tahu apa yang akan jadi jika scam tayar berasap dan kemalangan palsu bergabung? Ia akan membentuk scam penutup minyak. Jika anda sedang memandu dan seseorang (biasanya penunggang motosikal) melambai dan memberitahu bahawa anda terlupa menutup penutup minyak anda, lebih baik anda teruskan pemanduan sahaja. Scammer akan cuba merompak anda sebaik sahaja anda berhenti dan keluar dari kenderaan anda.
  • Scam cermin depan
    Scammer semakin kreatif hari ini, dan helah terbaru melibatkan membaling telur atau cat pada cermin depan anda atau menampal risalah atau pelekat pada cermin depan anda. Apa pun, ideanya adalah untuk mengganggu pandangan anda semasa memandu secara tiba-tiba, jadi anda akan berhenti untuk membersihkannya. Sudah semestinya, semasa anda membersihkannya, mereka akan mendekati anda dan cuba merompak anda.

Malangnya, scam seperti ini terlalu biasa berlaku di jalan raya di Malaysia, dan adalah penting bagi pemandu untuk sentiasa berwaspada dan menyedari segala bahaya disekeliling supaya kekal selamat di jalan raya.

5. Scam “Mana ibu saya?”

Scam semakin canggih, dan scam terbaharu yang melanda jalan raya Malaysia ialah apa yang dipanggil ‘scam kanak-kanak sesat’, atau seperti yang kami panggil – scam “Mana ibu saya?” Seorang kanak-kanak kecil akan mendekati anda di tempat letak kereta dalam scam ini dan mendakwa telah terpisah atau ditinggalkan ibu bapanya. Kanak-kanak itu biasanya akan meminta bantuan untuk menghantarnya pulang ke rumah, biasanya sambil membuat cerita dongeng tentang bagaimana mereka terpisah. Apabila anda bersetuju untuk menawarkan bantuan, anda akan diberitahu untuk ke sebuah lokasi terpencil di mana “ibu bapanya” akan merompak anda. Tidak dinafikan, helah ini sangat manipulatif, dan ia mengambil kesempatan ke atas naluri semula jadi manusia untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Oleh itu, sentiasalah ingat peribahasa ini: buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Bagaimana untuk menangani scam jalan raya

  1. Kekal tenang: Lawan desakan scammer. Jangan biarkan mereka mengambil kesempatan ke atas anda!
  2. Dapatkan insurans: Jika anda tidak berhati-hati, amat mudah untuk anda ditipu – dan jika anda tidak mempunyai insurans, atau jika polisi anda tidak melindungi jenis scam yang anda telah lalui, mereka akan cuba mendesak anda membayar menggunakan wang anda. Syarikat insurans anda akan mengendalikan semua penyiasatan dan kertas kerja untuk anda. Dan jika anda mendapati diri anda ditipu, sekurang-kurangnya anda tidak akan kehilangan wang. Anda juga mungkin berhak mendapat pulangan wang daripada scammer jika mereka bersalah dalam kemalangan itu.
  3. Cara paling mudah untuk memastikan diri anda selamat adalah dengan mengingati petua mudah ini: sentiasa hubungi syarikat insurans anda terlebih dahulu. Dengan menghubungi syarikat insurans anda dengan segera, anda boleh mendapatkan bantuan yang anda perlukan untuk mengendalikan sebarang situasi dengan sewajarnya.
  4. Hanya gunakan trak tunda syarikat insurans anda: Jika apa-apa berlaku, jangan sekali-kali menggunakan mana-mana perkhidmatan trak tunda yang berkemungkinan besar hanya ingin mengambil duit anda.
  5. Jika anda terlibat dalam kemalangan, tukar maklumat insurans dengan pemandu lain dan kumpulkan bukti (saksi, foto dan video kerosakan). Ini akan membantu melindungi anda jika pemandu lain cuba mendakwa bahawa kemalangan itu adalah kesalahan anda.
  6. Labur dalam dashcam: Salah satu pelaburan terbaik untuk anda dan kereta anda ialah dashcam (sebuah kamera kotak hitam kecil yang boleh dipasang pada papan pemuka atau cermin depan kereta anda). Mereka merekodkan apa yang berlaku di jalan raya di hadapan anda, termasuk sebarang kemalangan yang berlaku semasa memandu.
  7. Elakkan memandu di:
    • Kawasan di mana penunggang motosikal berkumpul.
    • Kawasan terpencil yang sukar untuk mendapatkan bantuan kecemasan.
  8. Jangan berikan apa-apa: Jangan beri wang kepada scammer, dan jangan tandatangani sebarang dokumen tanpa membacanya terlebih dahulu.
  9. Hubungi mekanik yang dipercayai: Jangan ikut nasihat orang yang tidak dikenali atau pergi ke bengkel pilihan mereka.
  10. Jangan berhenti:
    • Jika anda memandu dan seseorang membaling sesuatu pada kereta anda. Pastikan pintu dan tingkap kereta anda berkunci.
    • Untuk orang tidak dikenali. Teruskan pemanduan jika anda didatangi scammer.
  11. Hubungi pihak berkuasa: Untuk scam “Mana ibu saya?” perkara terbaik adalah menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. Pastikan anda mengumpul maklumat tentang kanak-kanak itu dan ibu bapa mereka!
  12. Lakukan penyelidikan: Ambil tahu balai polis mana yang mempunyai rekod terbaik dalam mengendalikan kemalangan kereta.

Kata akhir

Scammer ada di mana-mana, dan Malaysia tidak terkecuali. Walaupun kami berharap anda tidak ditipu, adalah penting untuk mengetahui jenis-jenis scam yang berbeza. Scammer zaman sekarang semakin inovatif dan lebih kreatif dalam helah mereka! Berwaspadalah apabila anda berada di atas jalan raya dan jangan biarkan diri anda ditipu – jika tidak, anda akan berisiko untuk kehilangan semua wang hasil titik peluh anda kepada scammer yang licik! Ingat, scam ini sentiasa berubah dan menjadi semakin licik, jadi adalah penting untuk anda sentiasa ambil maklum tentangnya. Pastikan anda sebarkan perkara ini kepada rakan dan keluarga anda supaya mereka juga sedar!

Untuk mendapatkan insurans, klik di sini! Kami akan membantu anda mencari insurans kereta terbaik untuk anda dengan membandingkan insurans kereta daripada syarikat insurans yang berbeza dalam 3 langkah, dalam masa 60 saat, secara PERCUMA.

PolicyStreet is licensed by Labuan Financial Services Authority, Bank Negara Malaysia and Australian Securities & Investments Commission.

Copyright © 2023 Polisea Group of Companies. All Rights Reserved.