Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD): Panduan Lengkap

Apabila tiba masanya untuk memperbaharui insurans kereta anda, anda mungkin menemui sesuatu yang dipanggil NCD dalam nota perlindungan polisi anda. Tetapi… Apakah sebenarnya NCD?

Apakah Itu Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD)?

NCD ialah singkatan untuk Diskaun Tanpa Tuntutan, juga dikenali sebagai Bonus Tanpa Tuntutan. NCD adalah seperti ganjaran istimewa daripada syarikat insurans anda jika anda berjaya untuk tidak membuat sebarang tuntutan untuk tempoh tertentu. Dalam bahasa mudah, jika anda tidak membuat sebarang tuntutan pada tahun sebelum, anda akan mendapat diskaun semasa pembaharuan insurans kereta anda yang seterusnya.

Mengapa NCD Penting

Anggap NCD sebagai tanda terima kasih kerana telah menjadi pemandu yang berhemah. Ia berguna semasa proses pembaharuan insurans anda, kerana ia akan menjadikan harga insurans kereta anda lebih murah dan memberikan anda penjimatan tambahan.

Semakin lama anda memandu tanpa membuat tuntutan, semakin besar jumlah diskaun ini. Anda boleh mengumpul sehingga 55% diskaun.

Jadi, apabila anda melihat perkataan NCD dalam polisi insurans anda, anggap ia sebagai hadiah kerana anda telah memandu dengan selamat (dan diskaun untuk insurans kereta).

Cara Kira Kadar NCD

Di Malaysia, kadar NCD ditentukan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), dan kadarnya adalah seperti berikut:

Tempoh Tanpa Tuntutan Kadar NCD
1 tahun 0%
2 tahun 25%
3 tahun 30%
4 tahun 38.33%
5 tahun 45%
>6 tahun 55%

Cara Semak Kadar NCD

Anda mempunyai dua pilihan untuk menyemak NCD semasa anda: anda boleh pergi le laman web Pangkalan Data NCD Pusat, atau anda boleh menyemak NCD anda secara percuma dan serta merta dengan kami!

Bolehkah NCD Tamat Tempoh?

NCD anda tidak akan tamat tempoh, tapi ia boleh berkurangan. Jika anda tidak memperbaharui insurans kereta anda, kadar NCD anda akan menurun secara beransur-ansur berdasarkan bilangan tahun anda tidak memperbaharui.

Sebagai contoh, jika NCD anda adalah 55% tapi anda tidak memperbaharuinya pada tahun hadapan, maka pada tahun kedua, NCD anda akan menjadi 45%.

Jika anda terus tidak memperbaharui insurans kereta anda pada tahun-tahun berikutnya, NCD anda akan terus berkurangan sehingga 0%.

Cara Mengekalkan NCD

Kunci untuk mengekalkan NCD adalah mudah: elakkan dari membuat tuntutan. Walau bagaimanapun, terdapat situasi di mana cara ini tidak boleh digunakan.

Jika anda berada dalam situasi di mana anda perlu membuat tuntutan tanpa ingin menjejaskan NCD anda, anda boleh menggunakan tips ini:

  1. Jika kemalangan itu bukan salah anda, sertakan laporan polis sebagai bukti.
  2. Semak sama ada polisi anda termasuk perlindungan tambahan, seperti perlindungan cermin depan atau sebarang perlindungan tambahan eksklusif PolicyStreet (tuntutan yang dibuat di bawah perlindungan tambahan ini tidak akan menjejaskan NCD anda).

Jika kerosakan kecil dan anda mampu membayar kos pembaikan sendiri, ini adalah satu langkah yang bijak. Cara ini boleh membantu mengekalkan NCD anda.

Oleh itu, sebelum membuat keputusan untuk membuat tuntutan, pertimbangkan kebaikan dan keburukan ke atas NCD anda. Ia seperti melindungi usaha anda menjadi seorang pemandu berhemah.

Apa Akan Berlaku Kepada NCD Selepas Tuntutan Dibuat?

Biarkan kami menerangkan perkara yang akan berlaku kepada NCD anda jika anda perlu membuat tuntutan:

Pertama, kemalangan tidak akan menjejaskan NCD anda secara automatik. Kesan pada NCD anda bergantung pada siapa yang bersalah dan bagaimana kemalangan itu diselesaikan. Berikut adalah beberapa contoh untuk membantu anda memahaminya:

Contoh 1: Jika kemalangan itu bukan atas kesalahan anda

  1. Failkan tuntutan Kerosakan Sendiri Tanpa Kesalahan (ODN) dengan syarikat insurans anda. Anda akan mendapat pampasan untuk kerosakan anda tanpa menjejaskan NCD anda; atau
  2. Failkan tuntutan Kerosakan Harta Benda Pihak Ketiga (TPPD) dengan syarikat insurans pihak yang bertanggungjawab. Pastikan anda menyertakan laporan polis sebagai bukti; atau
  3. Selesaikan secara sendiri dengan pihak yang bertanggungjawab.

Contoh 2: Jika kemalangan itu atas kesalahan anda

  1. Untuk mengekalkan NCD anda, pertimbangkan untuk membayar sendiri ganti rugi, terutamanya jika kosnya rendah daripada penjimatan dari NCD semasa anda; atau
  2. Dalam kes kerosakan yang teruk, anda perlu membuat tuntutan dengan syarikat insurans anda. Walau bagaimanapun, ini akan menjejaskan NCD anda.

Apa Akan Berlaku Kepada NCD Jika Anda Menukar Syarikat Insurans?

Berita baik! Jika anda ingin menukar syarikat insurans, anda boleh menyimpan NCD yang anda perolehi. Ini kerana NCD anda terikat dengan nombor IC anda.

Menukar syarikat insurans adalah mudah. Hanya pilih syarikat insurans baharu dan beli polisi anda. Apabila anda meminta sebut harga, NCD anda akan dipaparkan secara automatik, menjadikan penukaran mudah.

Bolehkah Anda Memindahkan NCD Anda?

Pemindahan NCD anda bergantung pada situasi:

  • Kepada individu lain: Tidak. Malangnya, anda tidak boleh memindahkan NCD anda kepada orang lain, walaupun mereka adalah ahli keluarga. Sekatan ini wujud kerana NCD terikat dengan nombor IC anda. Selain itu, walaupun anda menjual kereta anda, NCD tidak boleh dipindahkan kepada pemilik baharu.
  • Kepada kenderaan lain yang anda miliki: Ya. Anda mempunyai fleksibiliti untuk memindahkan NCD anda ke kenderaan lain yang anda miliki. Hanya hubungi syarikat insurans anda. Walau bagaimanapun, anda mungkin perlu menjelaskan premium pengeluaran NCD yang diprorata untuk kereta lama sebelum pemindahan. Sesetengah syarikat insurans juga mungkin akan meminta salinan nota perlindungan sebagai bukti kadar NCD semasa anda.
  • Antara jenis kenderaan berbeza: Tidak. NCD tidak boleh dipindahkan antara jenis kenderaan yang berbeza. Sama ada dari kereta ke motosikal atau sebaliknya, NCD adalah tetap untuk jenis kenderaan yang diperolehi.

Kesimpulan

Kesimpulannya, memahami selok-belok Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) adalah kunci untuk insurans kereta yang lebih murah. Sebagai pemandu, NCD adalah hadiah untuk tabiat pemanduan anda yang selamat.

Sama ada anda ingin memperbaharui polisi, menukar syarikat insurans atau membuat tuntutan, NCD anda memainkan peranan yang besar untuk insurans anda.

Dengan mengetahui kepentingannya dan membuat keputusan yang bijak, anda bukan sahaja akan menikmati penjimatan tapi juga menyumbang kepada pemanduan yang lebih selamat.

PolicyStreet is licensed by Labuan Financial Services Authority, Bank Negara Malaysia and Australian Securities & Investments Commission.

Copyright © 2023 Polisea Group of Companies. All Rights Reserved.